
Dua orang sahabat karib Abu dan Ali sedang berjalan melintasi sebuah gurun pasir. Di tengah-tengah perjalanan, tiba-tiba sahaja tercetus pertengkaran di antara mereka berdua. Abu telah menghadiahkan Ali satu tamparan yang hinggap di pipinya. Ali terasa sangat sakit hati tetapi tidak bertindak balas.
Tanpa berkata apa-apa, Ali menulis di atas pasir : Hari ini sahabat baik ku telah menampar mukaku. Kemudian mereka meneruskan perjalanan sehingga mereka menemui sebuah kawasan subur di padang pasir. Mereka mengambil kata sepakat untuk mandi di oasis tersebut sebelum meneruskan perjalanan yang masih jauh.
Dalam mereka asyik membersihkan diri masing-masing, Ali nyaris tenggelam dan lemas tetapi berjaya diselamatkan oleh sahabatnya, Abu. Ketika Ali mula sedar dari lemas dan hilang rasa takut, dia menulis di atas sebuah batu : Hari ini sahabat baikku telah menyelamatkan nyawaku.
Abu bertanya : “Kenapa setelah aku melukaimu, kau menulis di atas pasir. Dan sekarang, kenapa pula kau menulis di atas batu?” Sambil tersenyum, Ali berkata “Ketika seorang sahabat melukai kita, kita harus menulis di atas pasir agar angin maaf datang menghembus dan menghapuskan tulisan itu. Dan apabila sesuatu yang luar biasa terjadi, kita harus memahatnya di atas batu hati kita, agar tidak hilang ditiup sang bayu.”
Moral cerita, dalam kehidupan seharian kita, sering terjadinya perbezaan pendapat dan konflik disebabkan oleh pandangan kita yang juga berbeza-beza. Oleh itu, cubalah untuk saling memaafkan dan melupakan perselisihan lalu. Belajarlah menulis di atas pasir.
Sekadar renungan...
Ringkasan...